Tracie Tak Ambil Hati Dibandingkan Dengan Lisa BLACKPINK – Malah Anggap Ia Satu Pujian.
- farlisaramly
- Aug 22, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Pelakon Tracie Sinidol tidak berkecil hati apabila wajahnya dikatakan mirip anggota kumpulan K-pop BLACKPINK, Lisa, selepas tampil dengan gaya rambut baharu berponi (‘bangs’). Sebaliknya, Tracie, 24, menganggap ia sebagai pujian daripada peminat.
Menurut juara Dewi Remaja 2021/2022 itu, persamaan yang disebut mungkin disebabkan gaya rambut dan bentuk muka yang hampir sama dengan bintang antarabangsa itu.
“Saya rasa mungkin kerana ‘bangs’ dan bentuk muka. Bila tengok sekilas, mungkin nampak seiras. Tapi saya tetap anggap diri saya biasa saja,” katanya.
Tracie menjelaskan, penampilan berponi itu adalah tuntutan watak dalam filem terbaharunya yang bakal ditayangkan tahun depan. Walaupun mengakui gaya itu agak sukar untuk diurus, beliau komited menyesuaikan diri demi watak yang dibawa.
Sebelum ini, perkongsian videonya di Instagram menarik perhatian ramai yang menyamakan wajahnya dengan Lisa, sekali gus mencetuskan reaksi positif daripada pengikut.
Dalam pada itu, Tracie turut meluahkan rasa syukur atas sambutan memberangsangkan terhadap drama lakonannya, Hilang Dalam Rindu, yang ditayangkan di slot Samarinda TV3.
Drama arahan Along Kamaludin itu turut mendapat perhatian penonton dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.




Comments