“The Majestic of Anjung Serimpak” Apabila Warisan Bajau menjadi bahasa global di pentas Miss Universe
- latifah ariffin
- Oct 24, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR — Dalam dunia ratu cantik yang semakin sarat dengan glamor dan kompetisi, Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim, memilih untuk membawa sesuatu yang jauh lebih bermakna daripada sekadar keindahan warisan. Ketika kostum nasional bertemakan “The Majestic of Anjung Serimpak” diperkenalkan secara rasmi oleh Miss Universe Malaysia Organization (MUMO), khalayak tidak sekadar melihat busana indah mereka menyaksikan cerita bangsa yang dijahit dengan tangan, tradisi yang diangkat dari lautan Sabah, dan semangat Malaysia yang merentas generasi.
Reka bentuk kostum nasional ini diilhamkan daripada kehalusan budaya Bajau Sama, komuniti maritim Sabah yang sinonim dengan kemahiran belayar dan seni kraf yang tinggi nilainya. Rekaannya oleh Mell Sulaiman, pemenang Malaysia Top National Costume Designer Competition 2025, memadukan elemen klasik dengan tafsiran moden menjadikan Serimpak tembaga berbentuk kapal layar sebagai simbol utama.
Kapal layar itu bukan sekadar elemen estetik, tetapi lambang perjalanan bangsa Bajau Sama, yang telah menakhodai lautan dan membina peradaban di pesisir Nusantara. Padanan dengan kain Selisir bersulam tangan dan aksesori tradisional seperti Siupu dan Duang Sama menjadikan keseluruhan busana ini bukan sekadar pakaian, tetapi manifestasi identiti.




Comments