Michelle Yeoh Luah Bahagia Hidup Bersama Cinta Hatinya, Jean Todt
- farlisaramly
- Aug 21, 2025
- 1 min read

HONG KONG– Pemenang Anugerah Akademi, Tan Sri Michelle Yeoh mendedahkan rahsia kebahagiaan rumah tangganya bersama suami tercinta, Jean Todt, yang dinikahi dua tahun lalu selepas pertunangan selama hampir dua dekad.
Dalam temu bual eksklusif bersama majalah People sempena promosi filem terbaharunya, Ne Zha 2, Yeoh berkongsi bahawa hubungan mereka kekal utuh kerana mereka memilih untuk menghargai setiap detik bersama, bukan hanya menanti hari-hari istimewa.
“Rahsia hubungan kami adalah meraikan setiap hari. Bagi kami, setiap hari adalah hadiah,” ujar pelakon legenda itu.
Menurut Yeoh, walaupun sering berjauhan kerana komitmen kerjaya, suaminya yang juga bekas Pengarah Urusan Ferrari sentiasa memahami dan menyokong perjalanan seninya.
Apa yang lebih menarik, Todt terkenal dengan sikap romantiknya – bukan hanya mengingati ulang tahun, malah mengira tempoh hubungan mereka berdasarkan jumlah hari dan jam yang dilalui bersama.
“Jika saya bertanya, dia akan jawab sudah lebih 7,000 hari bersama saya. Kalau saya tanya lebih lanjut, dia akan beri jumlah jam pula,” kata Yeoh sambil tersenyum.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 27 Julai 2022, selepas mengikat tali pertunangan selama 19 tahun, dan terus menjadi inspirasi sebagai simbol cinta yang sabar, setia dan penuh pengertian.




Comments