Industri filem tempatan rekod kutipan RM164 juta di bawah skim wajib tayang - Teo
- latifah ariffin
- Oct 30, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan merekodkan sebanyak 59 filem di bawah Skim Wajib Tayang, dengan 13 daripadanya mencapai kutipan pecah panggung berjumlah RM164.02 juta setakat 26 Oktober, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata, pada 2024, Malaysia menghasilkan 58 filem dengan 13 filem mencapai status pecah panggung yang mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak RM117.19 juta, manakala pada 2023, sebanyak 62 filem diterbitkan dan 16 daripadanya berjaya mencapai kutipan pecah panggung berjumlah RM102.66 juta.
Teo berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) juga akan mengkaji keperluan menubuhkan Dana Penerbitan Bersama khas bagi format televisyen sebagai sebahagian usaha memperkukuh sokongan terhadap kandungan tempatan.
“Ia juga bertujuan untuk meneroka potensi pasaran ASEAN yang semakin berkembang, selain menggalakkan penerbitan bersama filem dan program televisyen antara negara anggota ASEAN,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam gala Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jury Latiff Rosli; serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Teo berkata, kerjasama serantau dalam ASEAN amat penting bagi berkongsi pasaran, bakat, teknologi dan memastikan tiada negara berdaya kreatif yang ketinggalan.
“Apabila kita bergerak bersama, label ‘Dihasilkan di ASEAN’ boleh menjadi lambang kebanggaan dan kecemerlangan kreatif yang diiktiraf serta dihormati di seluruh dunia.




Comments