top of page

Tragedi di Sungai Mississippi: Helikopter Langgar Kabel Kuasa, Terhempas Atas Baj – Dua Maut.

  • farlisaramly
  • Aug 8, 2025
  • 2 min read
Serpihan helikopter ditutupi kanvas selepas nahas tragik di East Alton – terhempas atas tongkang selepas langgar kabel kuasa, 7 Ogos."- Foto AP
Serpihan helikopter ditutupi kanvas selepas nahas tragik di East Alton – terhempas atas tongkang selepas langgar kabel kuasa, 7 Ogos."- Foto AP

ALTON : Dua maut apabila helikopter jenis Hughes 369D terhempas ke atas sebuah baj di Sungai Mississippi berhampiran Alton, Illinois, pagi Khamis.


Menurut kenyataan rasmi daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat, insiden berlaku jam 11.05 pagi ketika helikopter tersebut sedang melakukan kerja penyelenggaraan pada talian penghantaran elektrik.


Ia dipercayai melanggar kabel kuasa sebelum terhempas ke atas baj di sungai tersebut.


Jurucakap Pengawal Pantai AS, Jonathan Lindberg memaklumkan kapal tersebut terbakar sejurus impak, namun api berjaya dipadamkan pasukan bomba.


Tiada individu berada di atas kapal semasa kejadian.


Syarikat utiliti Ameren mengesahkan helikopter tersebut dikendalikan kontraktor dan subkontraktor yang ditugaskan untuk menggantikan pencahayaan menara dan bola penanda pada kabel penghantaran di Madison County.


“Kami amat berdukacita dengan insiden tragik ini dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan,” kata jurucakap Ameren dalam satu kenyataan.


Menurut Kor Polis Lebuhraya Missouri, tiada mangsa lain dilaporkan cedera dan identiti dua mangsa yang terkorban masih belum didedahkan.


Seorang saksi kejadian menggambarkan impak sebagai bebola api yang melintasi sungai dan mendarat di atas kapal, manakala satu kabel kuasa turut jatuh ke dalam sungai, menyebabkan kawasan sekitar dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.


Susulan insiden, laluan Sungai Mississippi antara penanda batu 199 hingga 201 telah ditutup kepada semua trafik maritim.


Jambatan Lewis and Clark yang menghubungkan Illinois dan Missouri turut ditutup sementara bagi tujuan keselamatan dan siasatan.


Seorang penyiasat NTSB dijadualkan tiba di lokasi pada Jumaat untuk menjalankan siasatan lanjut dan menilai keadaan helikopter yang akan dibawa ke fasiliti selamat untuk pemeriksaan menyeluruh.


Sungai Mississippi merupakan laluan penting bagi pengangkutan hasil pertanian dan barangan industri di Amerika Syarikat.


Penutupan sementara ini dijangka memberi kesan kepada rantaian logistik di kawasan Midwest.



Comments


LOGO SMJ (LATEST)_edited.png

Sekretariat Sabah Maju Jaya

WhatsApp Image 2025-07-04 at 1.36.37 PM.jpeg

IB Media Consultant Work Sdn. Bhd.

 Enhance your media experience with the latest news, inspiring stories and diverse programmes that connect with the people of Sabah

/2020/IB MEDIA CONSULTANT WORK SDN BHD /202001010664

© 2025 BORNEO.TV. Powered and secured by IB Media Consultant Works Sdn Bhd

bottom of page