Tanah Runtuh di Laluan Jemaah Hindu di Jammu, 30 Terbunuh
- farlisaramly
- Aug 27, 2025
- 1 min read

NEW DELHI, 27 Ogos 2025 – Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di laluan jemaah ke kuil Vaishno Devi di wilayah Jammu, utara India, semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, lapor agensi berita ANI.
Kejadian itu berlaku ketika wilayah Himalaya itu terus dilanda hujan berterusan, dengan lebih 60 mangsa dilaporkan maut dan 200 lagi hilang dalam kejadian berasingan di Kishtwar minggu lalu.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran supaya penduduk kekal berada di dalam rumah pada waktu malam susulan ancaman banjir, terutamanya di kawasan rendah. Hujan lebat turut dijangka melanda wilayah persekutuan Jammu dan Kashmir serta kawasan pergunungan Ladakh.
Ketua Menteri wilayah, Omar Abdullah, berkata perkhidmatan telekomunikasi terputus hampir sepenuhnya dan usaha sedang dijalankan untuk memulihkannya.
Sungai Tawi, Chenab dan Basantar dilaporkan melimpah melepasi paras berjaga-jaga, manakala beberapa jambatan dan lebuh raya rosak teruk, termasuk jambatan di Sungai Tawi yang runtuh hingga menyebabkan kenderaan terjatuh ke dalam lubang besar.
Institusi pendidikan di Jammu turut diarahkan tutup selepas mencatatkan hujan sebanyak 368 mm dalam tempoh sehari.
Sementara itu, negara jiran Pakistan turut berdepan situasi banjir buruk akibat hujan monsun dan pelepasan air dari dua empangan oleh India. Di wilayah Punjab, lebih 150,000 penduduk telah dipindahkan, termasuk 35,000 yang berpindah secara sukarela selepas amaran banjir dikeluarkan sejak 14 Ogos.




Comments