Sabah Fokus Bangunkan Sektor Kreatif sebagai Pemacu Pertumbuhan
- farlisaramly
- Jul 23, 2025
- 2 min read

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasa industri kreatif tempatan sebagai pemacu ekonomi baharu dan penggerak naratif budaya Borneo ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri melalui Pelan Induk SMJ memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital dan industri berasaskan pengetahuan termasuk kandungan kreatif.
katanya, usaha sedang dijalankan untuk menaik taraf fasiliti dan menyokong pusat latihan serta inkubator kandungan di Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan, dengan kerjasama agensi Persekutuan seperti FINAS.
Dana Kandungan Kreatif (DKK) bertujuan membantu penggiat seni menghasilkan kandungan beridentitikan Sabah serta mempromosikan budaya tempatan ke peringkat lebih luas, katanya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima DKK Sabah di Hotel Promenade, Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berkata, DKK yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Komunikasi dan FINAS memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk mengetengahkan kisah, budaya dan warisan mereka menerusi pelbagai medium seperti filem, dokumentari dan program televisyen.
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki kepelbagaian sosiobudaya luar biasa dengan lebih 30 etnik dan lebih 200 sub etnik, menjadikannya antara wilayah terkaya dari segi budaya lisan, visual dan naratif – sumber kandungan autentik yang wajar diketengahkan.
Beliau turut menegaskan bahawa keindahan semula jadi Sabah, sama ada di darat, laut atau pergunungan, memberi kelebihan besar untuk diterjemahkan dalam kandungan kreatif yang mampu menarik penonton tempatan dan antarabangsa.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta FINAS atas kesudian memilih Sabah sebagai lokasi program berimpak tinggi itu – bukti pengiktirafan terhadap potensi Sabah dan Sarawak bukan sekadar lokasi penggambaran, tetapi pusat penciptaan kandungan berkualiti.
“Inisiatif seperti Dana Program TV (Borneo) dan Dana Dokumentari bersama BORNEO TV adalah langkah strategik meletakkan Borneo sebagai jantung kandungan segar dan asli. Kita mahu lebih banyak karya kreatif lahir dari bumi Borneo – bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi untuk dunia,” ujarnya.
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor turut memuji pencapaian anak muda Sabah melalui platform seperti Sabah Film Lab, Mini Film Fest dan KKIFF yang berjaya mencuri perhatian di dalam dan luar negara.
Beliau menyeru lebih ramai belia luar bandar berani mencuba dan memanfaatkan peluang ini kerana kisah kampung halaman dan budaya tempatan mampu menjadi karya besar jika diterjemahkan dengan baik.
“Kandungan kreatif harus dijadikan jambatan perpaduan, inspirasi pembangunan, dan cerminan budaya Sabah dalam kerangka Malaysia MADANI,” katanya.
sumber ihsan BorneoNews.NET




Comments