Qabil Terus Unggul, Reputasi Tidak Tergugat
- farlisaramly
- Jul 21, 2025
- 1 min read

Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan, mengekalkan reputasinya sebagai pencabar utama kategori ESBK Talent di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 walaupun gagal menaiki podium dalam Perlumbaan 2 di Litar Navarra semalam.
Qabil, 13 tahun, memenangi Perlumbaan 1 pada Sabtu namun menamatkan Perlumbaan 2 di tempat keempat selepas saingan sengit bersama empat pelumba lain.
Beliau bermula dari petak utama dan memimpin pada awal perlumbaan, namun gagal menjarakkan diri sebelum dipintas di penghujung saingan.
Di sebalik usaha keras yang dilakukannya, Qabil terpaksa berpuas hati untuk melepasi garisan penamat di kedudukan keempat sekali gus menjadi keputusan luar podium pertamanya pada musim ini selepas lapan perlumbaan.
"Ia memang perlumbaan yang sangat mencabar. Saya cuba menyerang dari awal dan berjaya mendahului buat seketika, tapi pelumba lain cukup agresif dan saya terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas bertarung hingga ke garisan penamat," kata Qabil.
Walaubagaimanapun, keputusan itu tidak menggugat kedudukan Qabil sebagai pendahulu carta keseluruhan kategori ESBK Talent selepas mengumpul 173 mata dan meninggalkan pencabar terdekatnya Izan Rodriquez dari Sepanyol dengan kelebihan 49 mata.
Sebelum menghadapi saingan Pusingan Kelima ESBK Talent juga di Litar Navarra pada 28 hingga 31 Ogos depan, Qabil akan pulang ke tanah air untuk meneruskan aksi dalam saingan FIM MiniGP Malaysia di Litar Lumba Tangkak, Johor, hujung minggu ini.




Comments