Panambangan Juara Kejohanan Veteran Ex Army 2025
- farlisaramly
- Jul 15, 2025
- 1 min read

RANAU: Pasukan Panambangan muncul juara Kejohanan Bolasepak Tertutup Veteran Ex Army 2025 selepas mencatat kemenangan bergaya dalam perlawanan terakhir dengan menewaskan MM FT 1-0 di Padang Pekan Ranau, baru-baru ini.
Jaringan tunggal oleh pemain Rimin Kasim memastikan Panambangan mengutip 31 mata keseluruhan, hasil 10 kemenangan dan satu seri daripada 11 perlawanan yang dilalui.
Dengan kejayaan itu, Panambangan membawa pulang wang tunai RM5,000, Piala Datuk Jonathan Yasin, trofi kejuaraan serta medal.
Pasukan itu turut dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik, manakala Albert Tugun dari pasukan sama dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik.
Naib juara dimenangi Pasukan Sugud Region yang mengumpul 29 mata, membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan medal.
Tempat ketiga pula menjadi milik Pasukan Kundasang dengan 25 mata serta menerima wang tunai RM2,000 bersama trofi dan medal.
Sebanyak 12 pasukan berentap dalam kejohanan tahunan itu yang turut mendapat perhatian komuniti setempat.




Comments