Messi Jadi Pemusnah Juara Bertahan – Dua Aksi Penting Menjana Kemenangan Miami
- farlisaramly
- Aug 17, 2025
- 1 min read

MIAMI: Lionel Messi kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan otot dengan menjaringkan gol pada minit ke-84, membantu Inter Miami menewaskan juara bertahan MLS, LA Galaxy 3-1.
Messi, 38, dimasukkan sebagai pemain gantian selepas cedera pada 2 Ogos lalu. Jurulatih Javier Mascherano memaklumkan kecederaan itu ringan dan Messi kini kembali cergas sepenuhnya.
Messi yang diketepikan ketika kemenangan menentang Pumas UNAM dan kekalahan di tangan Orlando City minggu lalu, dimasukkan menggantikan Telasco Segovia di babak kedua.
Jordi Alba membuka tirai jaringan Miami pada minit ke-43 sebelum Galaxy menyamakan kedudukan menerusi Joseph Paintsil minit ke-59.
Namun kemunculan Messi mengubah rentak permainan apabila dia meledak gol penting pada minit ke-84 sebelum Luis Suarez menambah jaringan ketiga lima minit kemudian hasil hantaran kapten Argentina itu.
Dengan gol itu, Messi kini mengumpul 19 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 19 penampilan MLS musim ini selain membantu Miami mara ke suku akhir Piala Liga menentang Tigres, Rabu ini.
"Leo sentiasa mahu bermain setiap perlawanan. Dia gembira berada di atas padang dan tahu keadaan dirinya lebih baik daripada orang lain. Hari ini kami berikan beberapa minit kepadanya supaya dia kembali dapat rentak untuk aksi suku akhir," kata Mascherano.
Kemenangan itu mengekalkan Miami di tangga keempat Persidangan Timur MLS, enam mata di belakang pendahulu Philadelphia namun masih memiliki tiga perlawanan dalam tangan. - AFP




Comments