top of page

Mangsa Hilang Ditemui Mati Ditelan Ular Sawa Sepanjang Lapan Meter di Indonesia

  • farlisaramly
  • Sep 8, 2025
  • 1 min read

Updated: Sep 29, 2025

Penduduk menemui jasad mangsa di dalam perut ular sawa batik kira-kira 500 meter dari kawasan perkampungan. - Foto AGENSI
Penduduk menemui jasad mangsa di dalam perut ular sawa batik kira-kira 500 meter dari kawasan perkampungan. - Foto AGENSI

SULAWESI TENGGARA, INDONESIA – Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun ditemukan maut selepas ditelan seekor ular sawa batik sepanjang lapan meter dalam kejadian yang berlaku di Kabupaten Buton Selatan, pada Sabtu lalu.


Mangsa, yang juga penduduk Kampung Majapahit, dilaporkan hilang sejak pagi Jumaat sebelum jasadnya ditemukan masih berada dalam perut ular berkenaan, kira-kira 500 meter dari kawasan perkampungan di Jalan Usaha Tani.


Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Buton Selatan, La Ode Risawal berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk bahawa mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun pada hari kejadian.

“Keluarga dan penduduk kampung telah melancarkan usaha pencarian. Ketika kami sedang berkomunikasi dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Baubau, kami menerima maklumat bahawa mangsa telah ditemui,” katanya.

Menurut Risawal, penduduk yang menjalankan pencarian menjumpai seekor ular sawa dengan perut yang membesar secara luar biasa di kawasan kebun.

“Mereka mengesyaki bahawa mangsa berada di dalam perut reptilia tersebut, lalu membawanya pulang ke kampung untuk disiasat. Perut ular itu kemudiannya dibelah dan jasad mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa,” jelasnya.

Insiden menyayat hati itu disaksikan sendiri oleh ahli keluarga mangsa yang dilaporkan menangis histeria sejurus jasad ditemukan. Mayat mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah bagi urusan pengebumian.


Tambah Risawal, ini merupakan kali keempat ular sawa bersaiz besar muncul berhampiran kawasan penempatan penduduk di daerah berkenaan.


Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk agar lebih berwaspada dan tidak menjalankan aktiviti di kawasan kebun secara bersendirian. - AGENSI

Comments


LOGO SMJ (LATEST)_edited.png

Sekretariat Sabah Maju Jaya

WhatsApp Image 2025-07-04 at 1.36.37 PM.jpeg

IB Media Consultant Work Sdn. Bhd.

 Enhance your media experience with the latest news, inspiring stories and diverse programmes that connect with the people of Sabah

/2020/IB MEDIA CONSULTANT WORK SDN BHD /202001010664

© 2025 BORNEO.TV. Powered and secured by IB Media Consultant Works Sdn Bhd

bottom of page