Konvensyen Du’at Negeri Sabah 2025M/1447H Angkat Peranan Pendakwah Rahmah Era Globalisasi
- farlisaramly
- Aug 26, 2025
- 2 min read

KOTA KINABALU, 26 Ogos 2025 – Konvensyen Du’at Negeri Sabah 2025M/1447H berlangsung penuh bermakna pagi ini di Sabah International Convention Centre (SICC), menghimpunkan para ilmuwan, pendakwah serta tokoh agama dalam usaha memperkasa pendekatan dakwah rahmah selaras dengan cabaran semasa.
Dengan tema utama “Misi Menjadi Pendakwah Rahmah Dalam Era Globalisasi”, konvensyen ini menampilkan barisan panelis berwibawa dari dalam dan luar negara yang berkongsi pandangan dalam pelbagai aspek dakwah kontemporari.

Antara tokoh utama yang membentangkan pembentangan ialah Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Bin Haji Jaafar, Mufti Negeri Sabah, yang mengupas peranan pendakwah dalam membina kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan berhemah dan inklusif di era moden.
Sesi kedua menampilkan Dr. Abdullah Azzam bin Abd Rashid, pakar psikiatri yang membincangkan topik “Menyantuni Generasi Z: Pendekatan Psiko-Spiritual Dalam Dakwah Moden”. Beliau menekankan pentingnya kefahaman psikologi dalam mendekati generasi muda masa kini.
Sesi seterusnya turut diserikan oleh Habib Ali Bin Zainal Abidin Al Hamid, pendakwah dan Pengerusi Yayasan Ar Riyadh, yang menyampaikan topik “Menyantuni Ummah, Mengangkat Martabat: Dakwah Merentas Bangsa dan Budaya”, menjelaskan keperluan memahami sensitiviti budaya dalam penyebaran dakwah.
Manakala tokoh luar negara, Kiyai Dr. Haji Masyhuril Khamis, Pengurus Besar Al Jam’iyatul Washliyah, Indonesia, membawakan topik “Dakwah Berhikmah: Membangun Akhlaqul Karimah”, dengan penekanan kepada nilai adab dan akhlak sebagai asas dalam menyampaikan mesej Islam.
Program anjuran bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), JAKIM, dan beberapa institusi lain ini diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul dan usaha berterusan membina masyarakat madani yang harmoni dan berilmu.
Konvensyen ini juga seiring dengan aspirasi Malaysia Madani, dalam mengangkat peranan agama sebagai asas pembinaan jati diri bangsa dan perpaduan rakyat berbilang kaum.




Comments