Kontena Bertembung Traktor di India, 8 Maut, 43 Cedera
- farlisaramly
- Aug 25, 2025
- 1 min read

BULANDSHAHR, 25 Ogos 2025 – Sekurang-kurangnya lapan individu dilaporkan maut manakala lebih 40 lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah trak kontena dan sebuah traktor di Lebuhraya Nasional 34, berhampiran Kampung Ghatal, awal pagi tadi.
Menurut laporan agensi berita tempatan ANI, insiden berlaku sekitar jam 2.15 pagi apabila sebuah kontena yang dipandu laju dari arah belakang merempuh bahagian belakang sebuah traktor yang sedang membawa sekumpulan penganut Hindu dalam perjalanan dari Kasganj ke Gogamedi, Rajasthan, bagi menghadiri upacara keagamaan di Jaharpir.
Impak pelanggaran menyebabkan traktor tersebut terbalik, mengakibatkan banyak mangsa tercampak keluar dan mengalami kecederaan serius.
Ketua Polis Bulandshahr, Dinesh Kumar Singh, mengesahkan bahawa mangsa yang terkorban termasuk seorang kanak-kanak dan dua wanita.
“Satu insiden malang berlaku di sempadan Aligarh, di Lebuhraya Nasional 34. Sebuah kontena merempuh traktor yang membawa penumpang, menyebabkan ia terbalik. Lapan mangsa disahkan meninggal dunia, manakala 45 lagi cedera. Tiga daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Pasukan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan awal serta membawa mangsa ke hospital berdekatan. Keadaan majoriti mangsa yang cedera kini dilaporkan stabil.
Sementara itu, pihak polis telah menahan lori kontena yang terlibat dalam kemalangan bagi membantu siasatan. Operasi pembersihan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
Mayat mangsa yang terkorban telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. Setakat ini, media tempatan masih menunggu perkembangan lanjut berhubung kejadian. - AGENSI




Comments