top of page

Kes Baharu Jangkitan 'screwworm' Pada Manusia di Dikesan di AS

  • farlisaramly
  • Aug 25, 2025
  • 2 min read
Larva lalat screwworm yang diambil daripada lembu dijangkiti diperhatikan di loji pengeluaran lalat mandul COPEG, yang berfungsi membanteras penularan screwworm lembu, di Pacora, Panama. - Foto REUTERS
Larva lalat screwworm yang diambil daripada lembu dijangkiti diperhatikan di loji pengeluaran lalat mandul COPEG, yang berfungsi membanteras penularan screwworm lembu, di Pacora, Panama. - Foto REUTERS

CHICAGO, 25 Ogos 2025 – Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat mengesahkan satu kes jangkitan parasit berbahaya, dikenali sebagai screwworm, telah dikesan di negeri Maryland, melibatkan seorang individu yang baru pulang dari Guatemala.


Kes ini merupakan jangkitan manusia pertama yang direkodkan di Amerika Syarikat tahun ini membabitkan New World Screwworm (Cochliomyia hominivorax), sejenis lalat parasit yang bertelur pada luka terbuka haiwan berdarah panas. Setelah menetas, larva parasit tersebut akan memakan tisu hidup perumah dan boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat segera.


Menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut, mangsa sedang menerima rawatan di Maryland dan kes ini turut disahkan menerusi komunikasi dalaman antara agensi kesihatan persekutuan dan pihak industri ternakan.


Sebuah emel daripada pegawai Beef Alliance yang dihantar pada 20 Ogos lalu kepada beberapa pihak dalam sektor daging dan ternakan turut mengesahkan bahawa CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS) telah memaklumkan berkenaan jangkitan tersebut.


Maklumat lanjut turut dimaklumkan kepada doktor haiwan negeri dalam satu panggilan bersama CDC, manakala seorang pegawai kerajaan negeri Maryland turut mengesahkan kewujudan kes tersebut. Bagaimanapun, jurucakap CDC dan Jabatan Kesihatan Maryland masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi ketika dihubungi media.


Kes ini berlaku hanya seminggu selepas pengumuman oleh Setiausaha Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, Brooke Rollins, berkenaan rancangan untuk membina sebuah fasiliti penghasilan lalat mandul di Texas, sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan dan kawalan screwworm di negara tersebut.


Screwworm ialah parasit yang amat merosakkan, khususnya dalam sektor pertanian. Lalat betina akan bertelur pada luka haiwan atau manusia. Setelah menetas, larva akan menembusi dan memakan isi hidup perumah, menyebabkan kerosakan tisu yang serius, jangkitan sekunder, dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.


Rawatan lazimnya melibatkan pembuangan larva secara manual serta pembersihan dan penjagaan luka secara intensif.


Walaupun jangkitan terhadap manusia jarang berlaku, parasit ini telah lama dikenali sebagai ancaman utama kepada ternakan dan hidupan liar di kawasan tropika dan subtropika.


Perkembangan terbaharu ini menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penyebaran lebih meluas ke utara, dari Amerika Tengah ke bahagian selatan dan timur Amerika Syarikat.


Menurut emel dalaman, CDC dijangka akan memaklumkan secara rasmi kepada pihak kesihatan negeri, doktor haiwan, serta agensi berkaitan dalam sektor pertanian.


Bagaimanapun, sumber menyatakan bahawa industri berharap kesedaran umum terhadap jangkitan ini masih terkawal bagi mengelakkan gangguan pasaran.


Setakat ini, wakil Beef Alliance masih belum memberikan sebarang maklum balas lanjut berhubung insiden tersebut.

Comments


LOGO SMJ (LATEST)_edited.png

Sekretariat Sabah Maju Jaya

WhatsApp Image 2025-07-04 at 1.36.37 PM.jpeg

IB Media Consultant Work Sdn. Bhd.

 Enhance your media experience with the latest news, inspiring stories and diverse programmes that connect with the people of Sabah

/2020/IB MEDIA CONSULTANT WORK SDN BHD /202001010664

© 2025 BORNEO.TV. Powered and secured by IB Media Consultant Works Sdn Bhd

bottom of page