Kebakaran Hutan Ragut 10 Nyawa Anggota Bomba di Turkiye
- farlisaramly
- Jul 24, 2025
- 2 min read

ANKARA – Kebakaran hutan di Seyitgazi, wilayah Eskisehir, tengah Turkiye, meragut nyawa 10 anggota bomba dan mencederakan 14 yang lain semalam.
Menurut Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli, seramai 24 anggota bomba terperangkap apabila angin berubah arah secara tiba-tiba, menyebabkan api menyambar ke arah mereka.
Pasukan penyelamat bertungkus lumus mengawal kebakaran sejak Selasa.
Mereka segera dihantar ke hospital, namun 10 daripada mereka disahkan maut, manakala 14 lagi masih menerima rawatan.
Mereka memadamkan api dari arah bukit, manakala kami dari bawah," kata anggota bomba Ercan Temel yang menyaksikan kejadian itu kepada Agensi Berita Ihlas.
"Mereka cuba melarikan diri dengan berlari ke atas bukit, tetapi tidak sempat," tambahnya.
Menteri Kehakiman, Yilmaz Tunc, berkata menerusi hantaran di platform X bahawa pendakwa raya telah melancarkan siasatan berhubung kejadian itu.
Yumakli turut memaklumkan bahawa tujuh kebakaran hutan masih aktif di lima wilayah tengah dan barat Turkiye setakat Rabu.
Sementara itu di Nicosia, anggota bomba Cyprus bertungkus lumus untuk mengawal kebakaran hutan besar yang memaksa sekurang-kurangnya empat kampung dipindahkan pada hari pertama gelombang haba yang menyebabkan suhu melonjak tinggi.
Pihak berkuasa berkata kebakaran berlaku di kawasan berbukit utara bandar selatan Limassol dan bertambah marak susulan tiupan angin kencang dan suhu tinggi.
Jurucakap bomba memaklumkan terdapat 'kerosakan besar' pada beberapa kediaman di kawasan yang terkenal dengan ladang anggurnya itu.
Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides, berkata negara itu telah meminta bantuan di bawah skim bantuan Kesatuan Eropah (EU), dan negara jiran Jordan akan menghantar bantuan.
Sebanyak 14 pesawat dan pasukan darat dikerah untuk memadamkan kebakaran yang mula tercetus sekitar tengah hari Rabu. Punca kebakaran masih belum diketahui.
Suhu di pulau Mediterranean timur itu mencecah 43 darjah Celsius pada Rabu, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca tahap kuning.
Ia dijangka meningkat kepada 44 darjah Celsius pada Khamis, menjadikannya hari paling panas tahun ini.
Meskipun gelombang haba dan kebakaran hutan perkara biasa, kesannya terhadap nyawa dan kerosakan semakin ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. REUTERS




Comments