Impian Terbuka China Lebur, Pearly-Thinaah Gagal ke Final
- farlisaramly
- Jul 26, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian terus menjadi 'mimpi ngeri' kepada beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang tersingkir di separuh akhir Terbuka China, hari ini.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan deratan dua penampilan berturut-turut di pentas final oleh pasangan nombor tiga dunia itu, selepas muncul naib juara di Terbuka Jepun minggu lalu dan Terbuka Indonesia, bulan lalu.
Dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Pusat Olimpik Changzhou itu, Pearly-Thinaah jelas masih belum menemui jawapan untuk mengekang asakan konsisten pasangan tuan rumah dan tewas straight set 21-14, 21-17.
Kekalahan itu juga menyaksikan rekod pertemuan memihak kepada Yi Fan-Shu Xian yang menghuni ranking tujuh dunia dan kini memiliki kelebihan 4-1 ke atas beregu utama negara itu.
Sekali lagi, Pearly-Thinaah dilihat bergelut dari segi ketajaman serangan dan kekemasan dalam pertahanan, berbanding prestasi memberangsangkan ditampilkan mereka dalam perlawanan sebelum ini.
Sekali pun tidak berjaya mara ke final kali, prestasi konsisten yang ditunjukkan pasangan negara itu tetap memberikan petanda positif menjelang Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung di Paris, bulan depan.




Comments