GLC Disaran Perkukuh Sokongan Pendidikan Luar Bandar
- farlisaramly
- Jul 20, 2025
- 1 min read

SEMPORNA; 20 Julai 2025 (Ahad) – Penglibatan lebih meluas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat amat penting bagi memperkukuh pembangunan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pulau.
Focal Person Daerah Semporna, Haji Hatta Haji Lisani berkata, terdapat banyak GLC di seluruh negara yang berpotensi membantu KPM melalui pejabat pendidikan daerah dalam usaha meningkatkan kualiti sekolah serta kebajikan warga pendidik di kawasan pedalaman.
Katanya, walaupun Semporna kini mencatat banyak kemajuan termasuk dari segi infrastruktur dan sokongan lain, masih banyak ruang untuk GLC memainkan peranan agar sekolah-sekolah di kawasan terpencil dan pulau tidak terpinggir daripada arus pembangunan pendidikan negara.
Beliau yang juga Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) Pejabat Pendidikan Daerah Semporna berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Apresiasi Sanjungan Akademik (MASA) bagi meraikan guru-guru STPM dan SPM Daerah Semporna tahun 2024, baru-baru ini.
Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, Hajah Rozita Anjuh pula berkata penganjuran majlis seperti ini amat bermakna kerana dapat memberi penghargaan kepada jasa guru selain mengeratkan hubungan erat antara warga pendidik, pentadbir dan komuniti setempat.
Majlis itu turut dihadiri Mantan ADUN Sulabayan, Datuk Haji Harman Haji Mohammad yang terus memberikan sokongan terhadap usaha memartabatkan pendidikan di daerah ini.
Seramai 305 guru SPM dan STPM dari seluruh Semporna hadir bagi meraikan kejayaan dan pengorbanan mereka mendidik generasi muda.




Comments