Filipina Dilanda Tiga Siklon Serentak, 30 Terkorban
- farlisaramly
- Jul 26, 2025
- 1 min read

MANILA: Sekurang-kurangnya 30 rakyat Filipina maut akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku sejak minggu lalu, dipicu oleh fenomena monsun barat daya dan tiga siklon tropika, lapor Xinhua memetik agensi kerajaan Filipina.
Dalam laporan terbaru, Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) memaklumkan bahawa tujuh orang masih hilang, sama ada dihanyutkan oleh banjir kilat atau tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.
Agensi itu turut melaporkan bahawa bencana berkenaan menyebabkan 10 orang cedera.
NDRRMC juga melaporkan lebih 1.46 juta keluarga membabitkan kira-kira 5.30 juta penduduk terjejas di seluruh negara.
Pejabat Pertahanan Awam Filipina pula memaklumkan bahawa sebanyak 88 bandar dan majlis perbandaran mengisytiharkan darurat bencana bagi mempercepatkan usaha bantuan kecemasan dan memudahkan akses kepada sumber yang diperlukan.
Siklon Wipha, Francisco dan Co-May telah meninggalkan Filipina, namun jabatan meteorologi negara itu memberi amaran bahawa monsun barat daya dijangka terus membawa hujan lebat dalam beberapa hari akan datang, khususnya di beberapa bahagian pulau Luzon.
Filipina secara purata dilanda kira-kira 20 taufan setiap tahun.- sumber ihsan BERNAMA




Comments