Elavarasan Anggap Satu Mata di Likas Sangat Bermakna Buat Pasukan
- farlisaramly
- Aug 24, 2025
- 1 min read

KOTA KINABALU: Kelantan The Real Warriors (TRW) berpuas hati membawa pulang satu mata selepas terikat seri 0-0 menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, malam tadi.
Ketua jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan, mengakui prestasi pasukan sedikit menurun berbanding aksi sebelum ini, namun menyifatkan keputusan seri itu tetap penting dalam usaha mengekalkan momentum pasukan.
“Saya rasa penting untuk kami datang ke sini dan pulang dengan satu mata. Walaupun prestasi tidak sebaik sebelum ini, ia masih satu pencapaian yang boleh dibanggakan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Elavarasan turut mengakui Sabah FC lebih banyak mencipta peluang sepanjang perlawanan, namun kedua-dua pasukan gagal menemui jaringan.
“Secara keseluruhan, pemain boleh beraksi lebih baik. Bermain dalam persekitaran yang berbeza sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi, namun saya percaya kami mampu perbaiki keadaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, pendekatan lebih berhati-hati diambil pada perlawanan kali ini bagi mengekalkan kekuatan di bahagian pertahanan.
“Kami agak bimbang jika terlalu agresif menyerang, ia akan membuka ruang di bahagian pertahanan. Jadi kami lebih memilih untuk bermain mengikut rentak lawan. Mungkin pada pertemuan seterusnya, kami akan tampil lebih garang,” ujarnya.




Comments