Banjir: Kuala Lumpur turut terjejas, bilangan mangsa seluruh negara hampir 14,000
- latifah ariffin
- Nov 24, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa negeri terus bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 13,921 orang setakat jam 6 petang Isnin.
Pertambahan kes di Kuala Lumpur menjadikan sembilan negeri kini terjejas akibat bencana tersebut.
Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 9,689 orang yang ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS). Daerah terjejas meliputi Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.Sementara itu, Selangor mencatatkan peningkatan dengan 640 mangsa daripada 210 keluarga yang berada di 12 PPS di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Langat dan Shah Alam, manakala Sarawak mencatatkan 44 mangsa melibatkan enam keluarga di satu PPS di Miri.
Pihak berkuasa mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya terus mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta tidak melakukan aktiviti di sungai atau kawasan yang berpotensi dinaiki air secara mendadak.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan paras air sungai, menyediakan keperluan asas sebagai persiapan awal serta mengutamakan keselamatan keluarga sekiranya diarahkan berpindah.




Comments