27 rakyat Singapura, tujuh warga Malaysia antara suspek baharu sindiket penipuan di Kemboja
- latifah ariffin
- Oct 30, 2025
- 1 min read

SINGAPURA: Seramai 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia kini diburu polis kerana dipercayai menjadi sebahagian daripada sindiket penipuan yang beroperasi dari Kemboja.
Mereka kini berada di luar Singapura, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Rabu (29 Okt), sambil menambah bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa untuk mengesan dan memberkas mereka.Menurut polis, satu operasi penguatkuasaan bersama dijalankan dengan Polis Negara Kemboja pada 9 September terhadap sebuah kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah yang menyasarkan rakyat Singapura.
Kumpulan tersebut dipercayai beroperasi dari sebuah kompleks penipuan di Phnom Penh, Kemboja.Ia dikatakan bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 438 kes yang melibatkan kerugian berjumlah sekurang-kurangnya S$41 juta, menurut kenyataan polis.
Berikutan operasi penguatkuasaan awal di Kemboja, seramai 15 suspek yang diberkas di Singapura sudah didakwa pada 11 dan 12 September atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang mempunyai kaitan tempatan.
Mereka terdiri daripada 12 warga Singapura, dua warga Malaysia dan seorang warga Filipina.




Comments